Wednesday, February 16, 2011

Wahai kawan

Wahai kawan, tika diri ini mengalami pergolakan dalam diri, ketahuilah bukan diri ini ingin menjauhkan hati, tapi sedang mencari identiti. Identiti sebenar seorang yang islami.

Wahai kawan, bukan diri ini ingin mengelak gelak ketawa bersama, tetapi kadang-kadang gelak ketawa itu hanya bualan kosong, takut masa yang ada lebih sesuai berbicara dengan yang Maha Satu.

Wahai kawan, bukan diri ini ingin mengelak, apatah lagi melarikan diri, kerana hati ini sedang dahagakan ukhwah fillah. Fillah yang berlandaskan jalan Allah, bukan jalan dunia yang fana. Maafkan diri jika diri ini sentiasa senyap, sungguh, di dalam kepala ini aktif, berbicara dengan keagungannya.

Wahai kawan, pada kala ini, barulah mengerti orang islam cakapnya hanyalah zikir, kerana bila kita bergelak ketawa bergembira dengan mainan dunia, kita mudah dihanyut, hanyut dengan tipu daya syaitan, hanyut dengan hiburan, hanyut dengan taksubnya kita dengan maksud 'enjoy'. Takut dengan termakan perkataan enjoy, sungguh takut!!

Takut apabila kenal dengan 'enjoy', jiwa ini tidak ternampak matlamat kita yang satu di sini, di mana permulaan titik hitam di hati, gelap tidak nampak apa itu cara hidup islam.

Wahai kawan, di kala mereka semua bersuka riang, yang di sini sedang belajar tidak terlalu berkejaran dengan dunia luar, lebih baik terkurung, bukan sebab mahu menjadi penunggu rumah, tetapi takut dengan keluar yang berlebih-lebihan akan hilanglah maruah seorang perempuan yang di jaga islam.

Wahai kawan, sewaktu ini, jika kamu membaca , maafkan aku atas perubahan diri yang kerdil ini. Bukan mahu menyendiri, tetapi mahu banyak berfikir dan berzikir. Sungguh, takut dengan amalan yang tak mencukupi, tetapi umur yg pendek semakin melabuhkan tirainya, hampir dekat dengan azab kubur.

Wahai kawan, andai diri ini jauh daripada yang seceria dulu, janganlah risau, kerana diri ini, hati ini, jiwa ini lebih tenang di dalam walaupun tidak digambar di luar. Tetapi lebih sedih memikirkan diri yang dulu, payah diri menanggung dosa dulu.

Wahai kawan, hati ini juga payah jika tak membalas gelak ketawa kita bersama, tetapi jauh di sudut hati, ingin sekali berkata, "aku takut dengan lidah ini akan mengheret diri ke arah kejahilan" Sungguh, diri ini sangat payah menjaga lidah.

Wahai kawan, diri ini tiada siapa, tetapi diri yang kerdil ini sangat rindu dengan kematangan kita bersama. Kematangan bersama iman. Sungguh, iman kita senipis kulit bawang, jika tidak di jaga, akan terkoyak di makan angin.

Wahai kawan, diri ini sangat kerdil. semakin kerdil dan takut lagi semakin kerdil. Dengan itu, marilah kita guna masa kita bersama, menaikkan nama, keluarga dan seterusnya nama islam. Itulah maksud kemerdekaan sebenarnya.


No comments:

Post a Comment