Kenapa kadang-kadang hati ini, mata ini, sangat senang mengeluarkan air tanpa dijemput. Kenapa kadang-kadang hati ini sangat suka bermain dengan perasaan, merindui mereka yang sudah tiada, menyesali perbuatan dulu, risau tentang masa kini, rindu akan orang jauh, mengenang masa hadapan, menanti datangnya ajal. Kenapa mata bekerjasama bermain perasaan dan mengeluarkan jernih-jernih air yang sememangnya akan menyedihkan jiwa. Dan kenapa mata ini sering menangis? Dan kepadaNya kita berpaling.
Dan kenapa sering menanyakan nikmat yang besar diberi kepada kita? Kenapa mesti kita takut untuk menangis? Dan kenapa segan untuk menangis?
Buat mata yang sering menangis...
Sedarlah, air mata adalah satu nikmat. Nikmat yang terasa keajaibannya setelah dilakukan. Nikmat ketenangan, nikmat kesenangan, nikmat keletihan, nikmat kengantukan, nikmat kebersihan hati, jiwa dan mata kita sendiri, dan yang paling penting nikmat kepada diri sendiri, apabila kita sendiri semakin terasa dekat denganNya.
"Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah"
(Riwayat Ahmad dan Nasa'i)
Tangisan adalah salah satu keperluan untuk membersihkan hati. Jangan lah kita lari daripadanya kerana ia membuatkan kita hampir denganNya, berbicara denganNya, mengadu denganNya, merintih dengan pertolonganNya, mengakui jiwa kehambaan terhadapNya, atas sebab kekurangan kita sendiri.
Kita lemah kerana tidak dapat mengawal apa yang di sekeliling kita, kita lemah kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku, kita lemah kerana jasad manusia kita, kita lemah kerana lemahnya otak berfikir, kita lemah kerana rajinnya nafsu bekerja.
Dan tidaklah Dia menjadikan kelemahan itu sia-sia. Kelemahan adalah jalan untuk kita dekat kepadaNya. Kelemahan adalah pintu untuk kita mengadu denganNya. Kelemahan adalah tombol hati untuk berbicara denganNya.
Dengan kelemahan yang ada pada kita, kita takut dengan kuasaNya yang menentukan. Kita hanya mampu menyerah kerana Dia yang satu yang akan menentukan. Kerana Allah Maha Kuat, dan kita amat lemah, dan takut akan Dia.
Dengan kelemahan itu, mengadulah kepada Dia, mintalah kepada Yang Maha Mengetahui. Sungguh, Dia sangat suka hamba yang merintih.
Oleh itu, usahlah ditahan tangisanmu. Buangkanlah ego mu, lelaki atau pun perempuan, semua akan kembali kepadaNya.